Selasa, 17 Julai 2012

Seni Kraf Warisan Melayu

Ukiran kayu ialah simbol kerajinan tangan, kemahiran dan ketinggian ilmu yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk barangan yang mempunyai unsur seni. Simbol dan identiti yang ditonjolkan pada ukiran kayu mencerminkan jati diri masyarakat Malaysia. Ekspresi yang dipaparkan melalui ukiran kayu mewakili watak dan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.
Perjalanan sejarahnya yang cukup panjang menandakan kedewasaan seni kraf Melayu itu sendiri. Kewujudan seni kraf Melayu sejak bermula tamadun di Nusantara sehingga hari ini merupakan bukti kedewasaannya. Perjalanan sejarah ini juga memperlihatkan perubahan demi perubahan berlaku ke atas seni kraf Melayu dan menjadikannya warisan yang dibawa dari zaman ke zaman.


Abad ke 19 pelbagai seni kraf berkembang di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Tukang-tukang kraf ketika itu bernaung di bawah pengaruh istana dan pembesar-pembesar negeri, menjadikan seni kraf tempatan tidak berkembang dan digunakan sebagai kegunaan istana semata-mata.
Tahun 1930 sekumpulan pegawai awam Melayu dan Inggeris telah menubuhkan Persatuan Kesenian dan Pertukangan Melayu Kelantan. Buat pertama kalinya hasil kraf negara dipasarkan di bandar-bandar dan Singapura. Inilah detik perkembangan seni kraf tempatan. Tukang kayu tersohor seperti Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Latif Long, Allahyarham Abd. Rahman Long dan Allahyarham Nik Rashidin Nik Hussin.
Jenis Ukiran Kayu
Mengukir ialah proses meluakkan kayu dengan menggunakan alat ukir yang dibantu oleh kemahiran tangan. Bentuk ukiran kayu yang lazim dihasilkan oleh pengukir Melayu adalah ukiran dua dimensi dan ukiran tiga dimensi. Jenis-jenis ukiran seperti:

Ukiran Timbul Tanpa Silat
Gaya teknik ini biasanya terdapat pada dinding, tebar layar, jendela, daun pintu dan perabut.
Ukiran Timbul Bersilat
Hampir sama dengan Ukiran Timbul Silat tetapi berbeza pada silat motif atau corak ukiran. Ukiran teknik ini biasanya terdapat pada dinding, tebar layar, jendela, daun pintu dan perabot.
Ukiran Tebuk Tembus Tanpa Silat
Hampir sama dengan Ukiran Timbul Tanpa Silat biasanya terdapat pada kekisi, pagar musang, sekatan ruang, perabut dan cucur atap.
Segmen Liuk Lentuk Motif Dalam Ukiran Melayu menerangkan dengan jelas mengenai motif-motif hiasan yang digunakan dengan pengaruh dan kepercayaan motif itu sendiri. Ungkapan Keperibadian Melayu Dalam Ukiran Melayu dalam bentuk jiwa yang diterjemahkan oleh Abdullah Muhammad (Nakula) dalam bentuk kata-kata yang indah bagi memudahkan pemahaman masyarakat tentang makna yang tersirat disebalik keindahan ukiran kayu.

Keindahan ukiran Melayu adalah manifestasi gambaran jiwa dan budaya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dengan gabunggan ketinggian ilmu, kebolehan minda dan kemahiran untuk mengerahkan deria disalurkan kepada ukiran kayu sebagai satu nikmat yang boleh dihayati.
Artikel Seni Kraftangan Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan